Pages

Friday, August 7, 2009

Masakan NS Produk Pelancongan

SEREMBAN 19 Julai - Masakan tradisional Negeri Sembilan yang terkenal dengan cita rasa eksotiknya mampu menjadi produk pelancongan jika pengusaha hotel dan resort menyajikannya sebagai menu utama tarikan di restoran mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negeri ini kaya dengan pelbagai jenis masakan tradisional termasuk buah-buahan tempatan yang sewajarnya diperkenalkan kepada pelancong domestik mahupun asing.

"Pengusaha hotel dan resort di negeri ini sepatutnya menghidangkan masakan tradisional yang digemari ramai ini kepada pelancong sebagai mempromosikan makanan yang terkenal dengan keunikan dan eksotiknya.

"Ia boleh diperkenalkan sebagai salah satu sajian utama dalam menu harian di restoran masing-masing agar masakan ini boleh dinikmati ramai dan pada masa sama boleh menarik lebih ramai pelancong ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Pelancaran Pesta Masakan Negeri Sembilan dan Buah-Buahan Tempatan di Klana Resort, di sini malam tadi.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohammad Razi Kail.

Pada majlis itu, para jemputan yang terdiri daripada tetamu kehormat, wakil agensi pelancongan dan media dihidangkan dengan pelbagai masakan tradisional negeri serta buah-buahan tempatan.

Mohamad berkata, program itu diadakan bagi memperkenalkan masakan tradisional Negeri Sembilan kepada pengunjung termasuk tempat-tempat menarik yang ditawarkan sebagai destinasi pelancongan di negeri ini.
"Setakat ini sambutan sangat menggalakkan terutama sejak agensi kerajaan mengambil alih hotel ini dan maklum balas daripada orang yang datang di sini juga mengatakan bahawa masakan tradisional di sini sedap.
''Program ini akan diteruskan sebagai langkah mempopularkan masakan negeri dan hotel lain turut digalakkan mengadakan program yang sama," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa agar selain daripada masakan tradisional, buah-buahan tempatan turut dihidangkan sebagai pencuci mulut di restoran hotel mahupun majlis anjuran jabatan serta agensi kerajaan.
"Kerajaan negeri sememangnya menggalakkan agar buah-buahan tempatan terutama yang berasal dari negeri ini menjadi hidangan bagi setiap majlis anjuran jabatan mahupun agensi kerajaan,'' katanya.
Usaha tersebut, jelasnya, sedikit sebanyak mampu menjadi galakan dan memberi pulangan yang baik kepada para petani yang mengusahakan tanaman berkenaan.


Sumber : Utusan Malaysia (20/7/2009)
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text